Tuesday, October 4, 2016

Pelbagai Hasil Kraftangan

Malaysia berbangga kerana mempunyai pelbagai jenis kraftangan tradisional – dari hasil kraftangan antik yang tidak ternilai, hingga kraftangan moden yang menawan.

Oleh sebab kebanyakan penghasil kraftangan di negara ini beragama Islam, rekabentuk kraftangan tradisional banyak mencerminkan pengaruh Islam. Agama Islam melarang penggunaan gambaran manusia dalam keseniannya. Oleh itu kebanyakan rekabentuk adalah berdasarkan unsur alam semulajadi seperti corak akar dan tumbuhan menjalar, bunga serta haiwan.
Pasu


Barangan popular yang berciri tradisional termasuklah labu sayong dari negeri Perak, geluk dan belanga, tembikar Cina dan pasu Sarawak yang dihias corak tradisional. Kraftangan moden pula termasuklah pasu bunga, pasu, hiasan yang diperbuat dari tanah liat, arca serta barangan kegunaan dapur.

Labu sayong


Labu Sayong merupakan pasu berbentuk labu Cina yang lazimnya berwarna hitam dan biasanya digunakan untuk menyimpan dan menyejukkan air. Negeri Perak amat terkenal dengan jenis pasu ini.

Belanga

Belanga banyak dijumpai di rumah-rumah kampung dan lazimnya mempunyai dasar yang bulat dan pembukaan bibir yang luas. Ianya selalu digunakan untuk memasak kari kerana dipercayai dasarnya yang bulat membolehkan suhu memasak lebih rata.

Terenang

Bentuk Terenang bersegi-segi dan ia selalunya digunakan oleh penduduk di Negeri Pahang dan Terengganu untuk menyimpan air. Ianya mempunyai leher yang cengkung dan badan yang cembung.

Hasil Kayu


Malaysia, negara yang diberkati dengan sumber kayu-kayan yang pelbagai di hutan hujan tropikanya, juga terkenal dengan hasil kraftangan kayunya yang pelbagai jenis. Pada zaman dahulu, kebanyakan rumah di Malaysia diperbuat seluruhnya daripada kayu. Kini, antara hiasan serta barangan kayu yang boleh didapati termasuklah panel kayu antik yang terukir, hulu keris, bekas dengan reka bentuk Cina, ukiran kayu Orang Asli yang unik, tongkat kayu berukir, pelbagai peralatan dapur, serta kayu wangi yang berukir.

Kerja Tangan Logam


Hasil kerja tangan cara tradisional bagi membuat pelbagai peralatan gangsa dan loyang yang popular pada zaman dahulu masih terdapat hingga kehari ini. Dengan penemuan bijih timah pada kurun ke-19, pewter pula menjadi semakin popular. Hasil barangan logam termasuk barang hiasan moden, peralatan dapur dan artifak tradisional seperti tepak sirih, bekas merenjis air bunga mawar, serta bilah keris.

Hasil Anyaman 


Kagumi kehalusan hasil anyaman yang kreatif di Malaysia. Sumber tumbuhan termasuk bambu, rotan, pandan dan mengkuang, menyediakan bahan mentah bagi kerja anyaman dengan teknik melilit, menganyam, menocang dan menyelit bagi menghasilkan beg, bakul, tikar, topi, tudung saji, serta sepak raga.
Kain

Kain tradisional Malaysia, yang beraneka warna dan menawan, sangat digemari ramai. Jenis-jenis kain termasuklah batik, songket, pua kumbu dan tekat. Jenis-jenis kain ini kemudiannya dijadikan pelbagai barang perhiasan, dari pakaian tempah khas hinggalah kasut, langsir berwarna-warni dan alas tilam yang lembut.

Batik

Perkataan batik merujuk kepada teknik bagaimana kain batik dihasilkan, menggunakan lilin bagi membuat permukaan kain menjadi kalis air agar tidak menyerap warna. Warna kain batik tahan lebih lama kerana keseluruhan kain tersebut dicelup ke dalam pewarna yang menyerap ke dalam serat kain tersebut, dan bukan dicat atau dicetak.

Songket


Kain songket dihasilkan secara anyaman menggunakan benang emas. Pada masa dahulu, kain yang mewah dan indah ini melambangkan taraf kedudukan seseorang Melayu bangsawan.

Pua Kumbu


Pua Kumbu diperbuat daripada benang-benang yang dicelup secara individu menggunakan alat penenun tradisional. Corak menarik pada kain ini diilhamkan dalam mimpi tukang tenun dan dipengaruhi kepercayaan animis yang purba. Corak-corak yang diilhamkan adalah merupakan gabungan antara yang azali dengan yang mistik. Setiap tenunan mencerminkan peribadi penenun itu sendiri.

Tekat 


Tekat adalah seni menjahit benang emas ke atas kain dasar, yang lazimnya baldu, pada asalnya digunakan bagi menghias pakaian kahwin Melayu tradisional.
Barang Kemas & Aksesori Pakaian

Barangan aksesori buatan tangan yang halus banyak terdapat di Malaysia. Pilihlah antara barangan yang diperbuat daripada kulit, rantai manik dari Borneo, atau barang kemas emas dan perak bertatah batu permata yang sungguh menawan.

Kerongsang


Set tiga biji kancing yang digunakan bagi menyemat bahagian depan baju kebaya. Kerongsang lazimnya terdiri dari tiga bentuk kancing, iaitu satu kancing ibu, yang lebih besar dan berat, serta dua kancing anak yang lebih kecil dan ringan yang disusun di bawah kancing ibu.

Cucuk Sanggul


Penyemat rambut tradisional yang digunakan untuk mengemaskan rambut wanita dan membentuk sanggul di atas kepala mereka. Penyemat ini, yang lazimnya diperbuat dari emas atau perak dalam set tiga, lima atau pun tujuh, kini dipakai ketika hari perkahwinan atau digunakan oleh para penari tradisional dengan pakaian persembahan mereka.

Pending

Sejenis tali pinggang berukir yang digunakan untuk mengemaskan samping dengan pakaian baju Melayu yang merupakan pakaian tradisi bagi kaum lelaki. Pada masa dahulu, pending ini mencerminkan taraf dan kekayaan pemakainya. raf dan kekayaan pemakainya. 

No comments:

Post a Comment